About the Repository
About MIMA Digital Repository
Repositori Koleksi Digital MIMA (KDM) diperkenalkan dengan tujuan utama untuk menyokong dan melestarikan objektif, misi, dan visi organisasi Institut Maritim Malaysia (MIMA) sebagai sebuah pusat penyelidikan terkemuka. Pembangunan KDM ini berperanan penting dalam memastikan hasil penyelidikan serta karya intelektual institusi dapat diurus dan diakses dengan lebih berkesan.
Sistem ini berfungsi sebagai repositori digital yang menghimpunkan pelbagai bahan dan dokumen dalam bentuk digital dengan spesifikasi tertentu untuk memastikan pemuatnaikan dan penyimpanan data dijalankan secara sistematik. Kandungan dalam KDM ini terdiri daripada pelbagai hasil penyelidikan yang disumbangkan oleh ahli akademik dan penyelidik, yang merupakan penyumbang utama kepada koleksi digital tersebut.
Akses Mudah dan Cepat kepada Sumber Ilmu
Bagi memudahkan penyebaran dan akses kepada bahan penyelidikan, semua bahan yang terdapat dalam sistem KDM ini telah disusun dan diindeks dengan rapi. Melalui pendekatan ini, pengguna dapat mencari serta mendapatkan maklumat yang dikehendaki dengan lebih mudah, cepat, dan tepat. Penerapan konsep akses terbuka turut menjadi salah satu matlamat utama KDM, di mana bahan-bahan ini boleh diakses secara bebas. Sekiranya terdapat sebarang sekatan akses, langkah tersebut akan diminimumkan bagi memaksimumkan penggunaan dan manfaat koleksi digital kepada pengguna.
Pemeliharaan dan Pengurusan Khazanah Intelektual
Selain daripada menyediakan akses, pembangunan KDM juga memberi perhatian khusus kepada aspek pemeliharaan bahan. Hasil karya intelektual sesebuah institusi penyelidikan seperti MIMA dianggap sebagai aset yang sangat bernilai dan merupakan khazanah ilmu yang perlu disimpan dengan teliti. Pengekalan bahan dalam bentuk digital bukan sahaja memastikan ia dapat digunakan untuk rujukan pada masa kini, tetapi juga menjamin akses untuk generasi akan datang.
Langkah ini juga seiring dengan usaha MIMA untuk menyokong perkembangan penyelidikan di Malaysia, khususnya dalam bidang maritim. KDM menjadi platform penting untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dan memudahkan perkongsian maklumat secara meluas kepada komuniti akademik dan penyelidik.
Dengan pelancaran sistem Koleksi Digital MIMA, diharapkan ia dapat menjadi pemangkin kepada penyebaran ilmu yang lebih inklusif dan memperkukuhkan kedudukan MIMA sebagai institusi penyelidikan maritim yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.
- Mengenal pasti, mengesan, dan mengumpul
Seiring dengan pembangunan dan perkembangan MIMA, pusat sumber perlu mengenal pasti individu yang banyak memberikan sumbangan dan menghasilkan penerbitan ilmiah sepanjang tempoh bertugas di MIMA. Semua hasil penulisan dan penyelidikan tersebut perlu dijejaki dan dikumpulkan sesuai dengan peranan pusat sumber sebagai pusat pengumpulan sumber ilmu dan nadi MIMA. Aktiviti pengesanan boleh dilakukan melalui pangkalan data berpusat atau melalui paparan di laman web yang menyenaraikan nama-nama penyelidik dan bidang kepakaran masing-masing. - Merekod dan mengindeks
Hasil penulisan dan penyelidikan perlu direkodkan secara sistematik, dengan standard dan spesifikasi tertentu supaya ia dapat dikumpul dan disusun rapi rupa bagi memudahkan urusan pengesanan. Dalam bidang pengurusan maklumat, pustakawan dianggap sebagai golongan yang arif dengan penyusunan rekod dan maklumat bibliografi sesuatu bahan melalui aktiviti pengkatalogan dan pengindeksan. Manakala bagi bahan dalam format digital, metadata berfungsi sebagai alat yang boleh mendeskripsikan bahan berkenaan, seterusnya membolehkan ia dikesan oleh enjin carian semasa pencarian dibuat melalui Internet. - Menyimpan dan memelihara
Lokasi simpanan dan penstoran kandungan digital perlu diberikan perhatian bagi memastikan ia ditempatkan di lokasi yang sesuai dan selamat serta tidak mudah dicerobohi. Pihak pusat sumber dan Unit Teknologi Maklumat menyediakan pelan pencegahan dan tindakan pelaksanaan bagi memastikan keselamatan sistem KDM dan capaian terhadap sistem tidak terganggu. - Menggalakkan akses terbuka dan mempromosikan perkongsian sumber maklumat serta ilmu
Pusat sumber merancang menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak seperti universiti dan pusat penyelidikan (tempatan dan antarabangsa) bagi membolehkan penyelidik MIMA memperoleh akses terbuka dan perkongsian sumber ilmu. Perkongsian ini banyak menyumbang kepada peningkatan impak penyelidikan serta mengurangkan beban kewangan MIMA kerana tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan rujukan daripada koleksi berbayar
- Penerimaan dan pemilihan bahan
Proses pendigitalan bahan bermula dengan penerimaan bahan daripada pusat-pusat penyelidikan yang menyumbang bahan kepada repositori ini. Pemilihan bahan dilakukan dengan mengkategorikan bahan mengikut jenis bahan sebelum diberikan kepada staf bertanggungjawab untuk proses seterusnya. Penerimaan dan pemilihan bahan ini akan dilakukan oleh pustakawan. Tujuan bahan dikategorikan mengikut kategori masing-masing seperti artikel, kertas persidangan, laporan projek, dan lain-lain bagi mengelak kekeliruan dan memudahkan staf yang bertugas untuk mengimbas, menyunting, dan memuat naik bahan. - Imbasan bahan
Proses mengimbas bahan dilakukan oleh satu (1) atau dua (2) orang dengan menggunakan mesin pengimbas yang disediakan. - Suntingan bahan
Selepas bahan diimbas, proses suntingan dilakukan tanpa mengubah isi kandungan bahan. Suntingan dilakukan bagi membersihkan dokumen (kesan binding, stapler, dan lain-lain) serta membetulkan struktur muka surat yang tidak betul. - Muat naik bahan
Proses muat naik bahan ke repositori memerlukan ID dan kata laluan yang telah diwujudkan bagi staf yang bertugas sahaja. Ini memudahkan proses pemantauan dan penyemakan dibuat. Staf akan menggunakan manual proses muat naik bahan ke repositori yang telah disediakan semasa proses muat naik bahan dilakukan. - Semakan bahan
Setelah bahan dimuat naik, pustakawan akan menyemak semula bagi memastikan maklumat dan isi kandungan bahan adalah betul dan pengguna dapat mengakses bahan tersebut. Bahan seperti artikel perlu disemak dengan lebih teliti kerana melibatkan isu hak cipta
Contact Information
Any correspondence concerning this specific repository should be sent to amar@mima.gov.my.